Wednesday, November 23, 2011


Hijrah Rasulullah SAW dari negara bangsa kepada negara Islam
Oleh: Mohd Azhar Mihrab

"Makna hijrah bukan sekadar menyelesaikan dan melarikan diri dari fitnah semata-mata, tetapi hijrah dalam konteks ini memikul juga maksud wasilah mendirikan masyarakat baru di negara yang aman. Kerana itu, proses ini menjadi satu kefarduan ke atas setiap muslim yang berkemampuan bahawa ia menjejaki usaha hijrah dan menyumbangkan saham mendirikan negara baru ini, mengerah seluruh usahanya untuk mempertahankan dan menegakkan segala tuntutannya".
Inilah garapan al-Mubarakfuri dalam "al-Rahiq al-Makhtum" ketika menyingkap bab harakah dakwah Rasulullah s.a.w di Madinah hasil sunnah hijrah. Buku ini memenangi hadiah pertama sebanyak 50,000 riyal dalam pertandingan penulisan sirah nabawih anjuran "Rabitah al-Alam al-Islami' yang berpusat Di Mekah. Keunikan buku ini juga ialah berjaya mengatasi 171 buah buku lain dan telah diteliti oleh panel khas yang dianggotai ulama terbilang.
 Kenyataan ulama India itu ibarat susunan batu-bata bangunan yang saling menegakkan binaan kefahaman-kefahaman ulama sebelum dan selepasnya tentang hakikat dan matlamat hijrah. Inilah ibu kepada keseluruhan matlamat hijrah. Adapun matlamat-matlamat lain adalah ranting yang bernaung atau bertaut erat kepada konotasi hijrah.
Justeru itu, matlamat ranting itu tidak wajar mengatasi, terpesong dan menindas matlamat asal yang diteladani oleh Rasulullah s.a.w itu. Matlamat lain hendaklah bertindak menyokong dan mengukuhkan matlamat induk hijrah iaitu menegakkan masyarakat Islam yang menyerahkan ketundukan hanyalah kepada pengabdian kepada Allah s.w.t.
Adapun realiti penindasan, tekanan, pengkianatan, kekejaman dan kezaliman musyrikin Mekah terhadap harakat dakwah Rasulullah s.a.w dan para sahabat adalah kenyataan-kenyataan yang ingin Allah s.w.t dibuktikan dan dipaparkan kepada manusia tentang realiti pengabdian diri kepada Allah s.w.t secara hakiki melalui siri pergorbanan yang tidak berbelah bagi.
Apakah erti kepada sebuah penghijrahan jika tanpa adunan pengorbanan nyawa, harta, pangkat, keluarga dan tanah air di atas nama Islam? Apakah konotasi hijrah jika tanpa kesanggupan meninggalkan sikap dan tabiat buruk? Adakah dikatakan hijrah dengan memasang slogan tertentu dan memberi makeup pada upacara khusus sedangkan sistem yang berjalan membelakangi atau bersaing dengan peraturan-peraturan Allah s.w.t?
Kerana itu, Dr. Ramadan al-Buti menginterprestasikan penghijrahan para sahabat yang setia dan ikhlas kepada Allah s.w.t menghadapi segala penderitaan dan kesulitan dengan penuh kesabaran dan ketabahan sehinggalah detik keizinan Rasulullah s.a.w mereka berhijrah ke Madinah. Mereka merealisasikan tuntutan perintah hijrah itu tanpa perasaan berat, meninggalkan tanah air, kekayaan dan rumah mereka. Mereka berhijrah secara bersembunyi demi menyelamatkan agamanya dan mendapatkan ganti ukhwah, masyarakat baru di Madinah.
Hijrah Rasulullah s.a.w ialah kerana perintah menubuhkan masyarakat Islam yang tertegak dan berdaulat di dalamnya seluruh sistem pengabdian kepada Allah s.w.t secara mutlak. Ini kerana negara tanah air Mekah tidak memberikan ruang secukupnya kepada penubuhan masyarakat itu. Dr. Ramadan al-Buti melanjutkan bahawa kekuatan moral yang tercermin pada akidah yang benar dan agama yang lurus merupakan pelindung kepada peradaban dan kekuatan metarial. Jika suatu umat memiliki akhlak yang luhur dan berpegang teguh kepada agamanya, nescaya kekuatan materialnya akan terjelma pada negara, harta dan kepimpinannya. Tetapi jika akhlaknya bejat dan akidahnya menyimpang maka ia segala kekuatannya menuju kepada kehancuran.
Kerana itulah Allah s.w.t mensyariatkan prinsip berkorban dengan harta dan tanah air demi mempertahankan akidah dan agamanya. Dengan pengorbanan dan hijrah ini yang pada zahirnya nampak rugi kerana meninggalkan tanah air, harta dan keluarga tetapi sebenarnya memelihara negara, harta dan kehidupan.
Hal ini terbukti dari kebenaran hijrah Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah yang secara lahiriah nampak suatu kerugian bagi Rasulullah s.a.w dan Islam kerana meninggalkan negaranya, tetapi pada hakikatnya ialah suatu bentuk dan upaya untuk melindungi dan menyelamatkan negara itu sendiri.
Ini kerana hijrah itu bukan membuang atau mencampakkan sumber kekuatan tanpa tujuan tetapi bermaksud langkah perancangan dan penyusunan strategi ke arah mengislahkan keburukan dan merampas semula dari unsur jahiliah untuk dikembalikan kepada tempat asalnya.
Hijrah adalah satu proses sistematik, praktikal, efektif dan realistik ke arah pembentukan, penubuhan, mempertahankan dan menjamin kelangsungan sebuah masyarakat Islam.
            Hijrah bukan sekadar perpindahan secara kebetulan, bersempena, berjuzuk dan terpilih; mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain. Ia adalah satu proses yang didahului perancangan rapi dan tersusun, mengenal pasti tabiat dan bentuk serta bersungguh-sungguh melancarkan harakat Islamiah ke arah pelaksanaan Islam secara menyeluruh dalam masyarakat itu.
            Hijrah bukan juga sekadar representasi, memasang slogan dan tema tertentu secara literal, tetapi hijrah adalah proses praktikal, nyata dan realistik. tetapi merujuk kepada keseluruhan proses samada melibatkan perpindahan, perubahan, reformasi dan revolusi yang bersepadu antara ruh, minda dan fizikal melalui pengorbanan nyawa, harta, tabiat dan sikap demi mencapai keredaan Allah s.w.t.
Hijrah perlu mencakupi keseluruhan proses perubahan dari keburukan kepada kebaikan, dari kegagalan kepada kejayaan, dari kejumudan kepada keluasan, dari kemungkaran kepada kemakrufan dan dari jahiliah kepada Islam. Malah, hijrah juga bermaksud meningkatkan jati diri, komitmen, kualiti, sumbangan dan pencapaian dari baik kepada yang lebih baik, dan proses penambahbaikan ini tidak akan berhenti dalam pengertian hijrah sehinggalah kiamat.
            Seperti dijelaskan sebelumnya bahawa kemuncak kepada hijrah ialah mengasaskan masyarakat yang bernaung di bawah ketundukan kepada Allah s.w.t. Matlamat ini tidak akan tercapai kecuali wujudnya pemimpin, rakyat dan peraturan yang mentadbir segala hubungan dan hak menurut ketetapan Allah s.w.t. Dalam memenuhi ciri-ciri ini, Islam perlukan negara yang memberikan ruang yang secukupnya untuk menempatkan masyarakat itu dalam erti kata sebenarnya.
Sayyid Qutb menginterprestasikan bahawa masyarakat Islam itu hanya dapat lahir dengan penghijrahan komuniti manusia dari penghambaan diri kepada selain Allah s.w.t, menuju penghambaan kepada Allah s.w.t sahaja tanpa ada sekutu dan setelah dengan keputusan komuniti manusia tersebut untuk membentuk sistem hidup mereka berdasarkan pengabdian diri secara ikhlas kepada Allah s.w.t. Maka pada waktu itulah barulah tertegak sebuah masyarakat Islam.
Al-Maudidi mengariskan sifat pertama yang menentukan tabiat dan bentuk masyarakat Islam itu ialah bahawa masyarakat itu berdiri tegak di atas asas mengabdikan diri kepada Allah dalam seluruh urusannya. Pengabdian itu terjelma secara formaliti dalam kepercayaan seperti juga dalam semua syiar dan simbol peribadatan, terjelma dalam peraturan-peraturan, undang-undang, sistem pentadbiran, kaedah hidup, penyelesian dan wawasannya.
            Sehubungan itu al-Maududi melanjutkan bahawa tidak dinamakan hamba Allah s.w.t jika ia tidak menyakini keEsaan, kedaulatan dan kehormatan Allah s.w.t. Bukanlah hamba Allah jika ia mempersembahkan ibadat, syiar dan lambang pengabdian samada secara bersama-sama Allah, perseorangan atau tidak bersama-sama Allah. Dan bukanlah hamba Allah jika ia menerima sistem, kaedah, pendekatan dan penyelesaian berupa peraturan, undang-undang, kod dan etika selain yang ditelah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. Maka individu, keluarga, masyarakat yang tidak tertegak di dalamnya pengabdian itu bukan masyarakat Islam yang berada dalam jaminan keselamatan Allah s.w.t.
            Masyarakat Islam ini sekaligus menolak ideologi "masyarakat bangsa" seperti yang diasaskan oleh Quraisy Mekah dan negara-negara bangsa di Eropah. Dalam negara Mekah, para pemimpin dan masyarakatnya mempertahankan bangsa, kabilah dan asabiah. Mereka memberikan ketuanan kepada Quraisy sehingga membawa kepada melanggar hukum. Mereka menetapkan bahawa mereka tak layak wukuf di Arafat dan bermalan di Mina. Mereka bangsa mulia, tidak layak keluar dari Tanah Haram. Orang di luar Tanah Haram ditetapkan tawaf bertelanjang.
Mereka menolak kebenaran dakwah Islam di atas pelbagai alasan yang disandarkan kepada kebangsaan berupa tradisi nenek-moyang, warisan dan pusaka. Mereka mendabik dada di atas nama Quraisy yang diberikan kedudukan, pangkat dan kemuliaan tanah haram sehingga Rasulullah s.a.w membidas kesempitan fahaman kebangsaan ini; "Disiapkan neraka untuk siapa yang mengingkariku meskipun ia berbangsa Quraisy. Disiapkan syurga untuk siapa yang mengtaatiku meskipun ia berbangsa Habsah"
Di Eropah, Sivachandralingam dan Ayadurai dalam buku "Tamadun Dunia" menjelaskan pada era zaman Pertengahan Eropah menubuhkan negara bangsa setelah kegagalan sistem feudal. Perkembangan ideologi Renaisans mula mengubah sikap manusia di Eropah dan seterusnya membuka kesedaran kebangsaan dan pembentukan negara-negara bangsa.
            Asas dan matlamat pembentukan negara bangsa ialah menyatupadukan kemajmukan warganegara di bawah satu bangsa, bahasa dan budaya demi negara. Pengertian bangsa seringkali merujuk kepada bangsa pemerintah. Jika bangsa Perancis memerintah maka negara bangsa itu ialah negara bangsa Perancis. Maka bangsa-bangsa lain yang terjajah samada bangsa Norman dan Burgundi dipaksa meninggalkan budaya mereka malah dikerah menyerahkan keseluruhan motivasi, semangat dan perjuangan kepada ketuanan Perancis.    
Negara bangsa meskipun pada kulitnya nampak bagus mengintergrasikan bangsa-bangsa ke dalam satu bangsa, namun hakikatnya ianya gagal menyelesaikan isu-isu teras masyarakat bangsa itu sendiri. Ideologi kebangsaan menjadikan ketuanan bangsa sebagai saingan. Timbul kebencian dan dendam yang mendalam kepada bukan bangsa pribumi yang dinafikan hak kerana keseluruhan hak di bawah kekuasaan bangsa pemerintah secara eksklusif. Bangsa lain adalah bangsa terjajah dan seringkali dieksploit. Mereka seringkali mendapat sisa atau dari apa yang disifatkan ihsan, tawar-menawar dan menjaga hati bukan sebagai hak dan tanggungjawab bersama secara hakiki.
Dr. Mujahid Yusuf Rawa menegaskan kelemahan nyata negara bangsa ialah dalam menyelesaikan tiga persoalan teras iaitu Islam, masyarakat majmuk dan keadilan ekonomi. Islam tidak mendapat tempat sewajarnya atau tidak diberikan ruang yang cukup untuk melaksanakan syiarnya secara komprehensif. Begitu juga isu masyarakat majmuk tidak berupaya diselesaikan secara akar umbi kerana ketiadaan satu sistem mutlak mengemukakan pendekatan yang memuaskan semua bangsa. Manakala pengagihan ekonomi seringkali tidak adil dan saksama kepada semua bangsa lantaran kecenderungan yang tebal terhadap ketuanan bangsa pemerintah.
Negara Islam yang terbangun di dalamnya masyarakat Islam sahaja diyakini dapat mengemukakan penyelesian kepada permasalahan hidup manusia. Sayyid Qutb menegaskan di antara hasil realistik yang cemerlang dari kaedah Islam ini ialah bahawa masyarakat Islam itu menjadi masyarakat terbuka untuk semua jenis bangsa, kaum, etnik, suku, warna kulit dan bahasa tanpa sebarang batasan kebinatangan yang menggelikan. Ke dalam komuniti masyarakat Islam itulah tertuang berbagai ciri khas dan kemampuan dari berbagai jenis manusia yang mencetuskan kesepaduan organik berkualiti tinggi dalam jangka waktu yang disifatkan relatif pendek. Komuniti masyarakat yang unik, serasi, sepadan dan terjalin rapi telah melonjakkan tamadun agung yang berisi intisari dari seluruh daya manusia yang terdapat pada zaman itu.
            Dalam masyarakat Islam unggul itu berkumpullah bangsa Arab, Parsi, Turki, Cina, Rom, India, Melayu, Batak dan semua jenis bangsa manusia. Semua ciri-ciri khas bangsa-bangsa itu berkumpul, saling berkerjasama, bergabung, sebati dan mesra. Tamadun masyarakat Islam ini tidak seharipun mendakwa sebagai kebudayaan Arab, tidak seharipun mendakwa tamadun Melayu, tidak seharipun mendakwa di atas sifat kebangsaan, atau ideologi sempit yang lain, tetapi masyarakat ini sentiasa mencermikan pengabdian kepada Allah s.w.t secara universal, berkasih sayang, saling menghormati, bermaafan, pentingkan orang lain dan berbaik sangka.
            Dari kerana itu sambutan hijrah perlu mengembalikan kita kepada asas penghayatan masyarakat Islam dan negara Islam tulen. Sesungguhnya tiada erti sambutan hijrah jika sesebuah masyarakat masih mempertahankan masyarakat bangsa dan negara bangsa yang bertentangan dengan ruh Islam. Rasulullah s.a.w telah berhijrah dari negara bangsa, membangun negara Islam dan kemudian mengambil semula negara bangsanya untuk dikembalikan kepada negara Islam.